comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Fatwa’ politik polis akan panggil Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipanggil untuk dirakam percakapan berhubung kenyataannya bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, PDRM sudah membuka kertas siasatan kes berkenaan.

“Ada laporan dibuat, kita akan siasat. Fatwa ini hanya boleh dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri.

“Justeru saya tegaskan sekali lagi bahawa pihak polis akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menyentuh isu 3R (Agama, Bangsa, Institusi Diraja),” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, pelbagai amaran dan nasihat sudah diberi sebelum ini berhubung mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R.”Jika masih ada individu yang membuat kenyataan 3R, kita akan panggil dan siasat, kita tidak akan bertolak ansur.

“Jangan beranggapan kita berpolitik, kita berkedudukan, boleh mengeluarkan sebarang kenyataan menjurus ke arah isu 3R,” katanya.

Siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu semasa dalam Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di Johor Bahru, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ‘haram memberikan undi kepada Suhaizan’.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.

Loading...
Terkini