comscore
Tumpuan :
Nasional

Gajah liar dijejaki hampir sebulan berjaya ditangkap

Foto: PERHILITAN

JERTIH: Seekor gajah liar yang dijejaki oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu sejak hampir sebulan lepas akhirnya berjaya ditangkap di Kampung Pak Sik, Hulu Besut dekat sini pagi tadi.

Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata sebaik menerima laporan pada 28 Mei lepas, pihaknya telah melakukan dua operasi untuk menangkap gajah jantan itu namun kedua-duanya gagal sehingga berjaya menangkap haiwan itu pada 9 pagi tadi menerusi operasi ketiga.

“Operasi pertama dilakukan pada 9 hingga 11 Jun manakala kedua bermula 19 hingga 21 Jun.

“Gajah yang dianggarkan seberat kira-kira dua tan dan berusia antara 10 hingga 12 tahun itu hanya berjaya ditangkap dalam operasi ketiga bermula semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sebanyak tujuh anggota Perhilitan Besut terlibat dalam operasi itu.

Loo berkata gajah itu dalam keadaan sihat, namun pihaknya mendapati gading kirinya patah selain bahagian punggung kiri terdapat kesan tusukan gading dipercayai bergaduh dengan gajah jantan liar lain sebelum ini.

“Gajah itu ditembak dengan pelali di kawasan berdekatan kebun penduduk dan buat masa ini ditambat di situ sementara dipindahkan ke habitat semula jadi yang sesuai dalam minggu ini,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan penduduk Kampung Pak Sik takut untuk ke kebun atau menoreh getah kerana khuatir terserempak dengan gajah liar yang turut merosakkan tanaman mereka.

Gajah itu merupakan yang kedua berjaya ditangkap Perhilitan Terengganu pada tahun ini di kampung itu selepas gajah pertama ditangkap pada 8 Mei lepas.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini