comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan Seksual: “Enggan lapor, boleh didakwa” – Azalina

Oleh: Juliana Sharin

SHAH ALAM: Pihak sekolah yang bertindak melindungi perbuatan gangguan seksual terhadap kanak-kanak akan diburu dan dikenakan tindakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan mana-mana orang awam yang enggan melaporkan kes berkaitan boleh didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Kalau anda tahu tetapi tidak lapor, anda akan didakwa di bawah Seksyen 19. Kita akan cari anda jika anda tidak lapor. Jadi lebih elok anda lapor,” katanya.

Datuk Seri Azalina berkata demikian pada Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual, di Shah Alam.

Beliau mengulas tindakan pentadbir yang enggan memaklumkan kes salah laku membabitkan muridnya kerana dikhuatiri akan menjejaskan reputasi sekolah.

Beliau sebalinya memberi jaminan akan melindungi pihak yang beri maklumat mengikut undang-undang yang ada.

Tambahnya tidak cukup jika hanya mempunyai undang-undang bagus namun penguatkuasaannya masih lemah.

“Sebab itu, sekarang kita ambil pendekatan bekerjasama dengan agensi-agensi dari kementerian lain untuk kita bergerak bersama.

“Tidak adalah bahagian undang-undang buat undang-undang, sekolah hanya mengajar saja. Jadi kali ni kita mahu, guru-guru bantu kita laksanakan undang-undang di sekolah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini