comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gara-gara ‘Love Scam’ tukang jubin rugi RM29,000

KUANTAN: Tergoda dengan  kejelitaan wanita yang hanya dilihat menerusi  telefon bimbit, seorang tukang pasang jubin kerugian RM29,000 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam.

.Mangsa yang kenali Foong, 42 tahun, berkata perkenalan dengan wanita itu bermula di Facebook pada 5 Disember lalu, kemudian berlanjutan menerusi mesej dan panggilan di WhatsApp.

Cerita Foong,  selepas seminggu, suspek memperkenalkan satu aplikasi menjual barang yang dijanjikan komisen kepada mangsa.

“Tertarik dengan tawaran itu, saya membeli barang terbabit antaranya rantai emas dan jam tangan yang keseluruhannya berjumlah RM29,000.

“Pada awalnya saya membeli barang berjumlah RM1,000 dan menerima komisen RM250 sebelum menambah pembelian berjumlah RM25,000 dan RM4,000 kepada tiga akaun berbeza pada tarikh 13, 14 dan 18 Disember lalu.

“Namun, apabila ingin mendapatkan komisen, pelbagai alasan diberikan sebelum panggilan tidak lagi dijawab sejak 21 Disember lalu.

“Berikutan itu, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada 24 Disember lalu, kerana berasa ditipu,” katanya.

Foong yang berasal dari Kuala Lumpur ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Semambu, di sini, hari ini.

Hadir sama, ADUN Semambu, Chan Chun Kuang dan Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

Foong berkata, wang berkenaan adalah simpanan sendiri dan tidak menyangka menjadi mangsa sindiket terbabit.

Sementara itu, Daniel berkata, orang ramai dinasihat tidak mudah terpedaya dengan kejelitaan dan ketampanan individu yang diletakkan di media sosial.

“Kerajaan sudah melakukan segala-galanya tetapi rakyat juga perlu bekerjasama kerana kes seperti ini banyak dilaporkan tetapi masih ada yang kena,” katanya.

Loading...
Terkini