comscore
Tumpuan :
Nasional

Gara-gara putus cinta, lelaki bakar kereta, motosikal milik bekas kekasih 

Foto hiasan

SEGAMAT: Seorang lelaki berang apabila bekas teman wanitanya enggan meneruskan hubungan mereka menyebabkan suspek bertindak membakar kereta dan motosikal wanita itu.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.15 tengah malam Ahad lalu ketika bekas kekasihnya yang berusia 38 tahun itu tidak berada di rumah.

Wanita terbabit dikatakan mengetahui kejadian itu selepas dihubungi anak perempuannya yang memaklumkan ternampak api dan asap dari kereta Perodua Myvi dan motosikal Suzuki Nex yang diparkir di garaj kediaman.

Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa tampil membuat laporan polis beberapa minit kemudian di Balai Polis Segamat untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Ketua Polis Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait berkata, anggota polis peronda (MPV) Daerah Segamat membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 28 tahun sekitar Bandar Utama, di sini.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan khianat Seksyen 323 dan 427.

“Ujian saringan awal air kencing dapati negatif bahan terlarang, ” katanya di sini, hari ini.

“Hasil pemeriksaan pada kereta Myvi mangsa mendapati bahagian kerusi belakang, pintu, tayar, bumper belakang kanan terbakar sementara motorsikal Suzuki Nex, tempat duduk, dan meter turut terbakar,” tambahnya.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM15,000.

“Perbuatan dilakukan disebabkan suspek mendakwa berdendam kerana mendakwa mangsa tidak mahu meneruskan hubungan,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman empat hari bermula Ahad sehingga 17 April, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini