comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Gerai nasi tomato popular, musnah dalam kebakaran 

GEORGE TOWN: Dua gerai musnah dalam kebakaran yang berlaku di Flat Taman Seri Damai, Jelutong, di sini, hari ini.

Kejadian turut memusnahkan Gerai Nasi Tomato Batu Lancang yang popular sejak 35 tahun lalu.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek laporan mengenai kejadian
diterima pihaknya pada jam 10.37 pagi.

“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan dua unit gerai dalam kawasan flat berkenaan.

“Kebakaran membabitkan kemusnahan sehingga 70 peratus dan dua motosikal yang diparkir berhampiran turut terjejas,” katanya.

Mengulas lanjut Fairol Mahazi berkata berikutan kejadian berlaku di kawasan perumahan, pihaknya berdepan dengan masalah trafik dan ruang parkir.

“Penugasan pemadaman api dan ‘size up’ mengambil masa kira-kira 20 minit bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

“Kejadian tidak membabitkan mangsa dan operasi tamat pada jam 11.47 pagi,” katanya lagi.

Sementara itu pemilik gerai, Mohamad Tajularus Abdul Wahab, 41, berkata, dia dihubungi pekerjanya yang memaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, ketika itu hanya terdapat dua pekerja di gerai yang memunggah barangan jualan sebelum menyedari kebakaran.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah sebelum dihubungi pekerja dan api dikatakan merebak pantas, turut membakar gerai kosong di sebelah gerai saya.

“Gerai nasi tomato ini beroperasi pada waktu malam saja dan baru dibuka semula semalam selepas cuti Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Mengulas lanjut Mohamad Tajularus berkata, dia menganggarkan kerugian sehingga RM300,000 berikutan terdapat banyak perkakas dan peralatan yang baharu dibeli.

“Dipercayai kejadian berlaku akibat litar pintas dan saya belum ada perancangan lain kerana masih buntu.

“Biasanya pada waktu cuti perayaan begini, kami terima kunjungan pengunjung luar biasa dan semalam, kira-kira lebih 500 pelanggan menikmati hidangan di sini,” katanya.

Hadir sama di lokasi bagi meninjau kejadian ialah Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mohammad Farouk Abdul Rahman.

“Kita sudah melakukan tinjauan dan mengambil maklumat mengenai kejadian, jadi tindakan susulan akan diputuskan kemudian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini