comscore
Tumpuan :
Nasional

Grab turut berduka cita, hulur bantuan pada keluarga Sharipuddin

KUALA LUMPUR: Grab Malaysia dan komuniti rakan penghantar akan memberi sokongan dan bantuan sewajarnya kepada keluarga Sharipuddin Shaari yang maut dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, semalam.

Grab Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dan seluruh komuniti rakan penghantar berduka cita kerana insiden itu berlaku ketika Allahyarham sedang bekerja keras mencari rezeki halal.

“Keluarga Grab mengucapkan takziah kepada keluarga, waris, dan rakan-rakan Sharipuddin yang juga seorang rakan penghantar yang berdedikasi.

“Kami dapat merasakan kesedihan yang dilalui kalian semua ketika ini.

“Pasukan kami sudah menghubungi keluarga Sharipuddin untuk memberi sokongan dan bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, di samping faedah perlindungan insurans pihaknya akan memastikan waris mangsa menerima lebih banyak bantuan lain.

“Ini termasuk bayaran daripada dana Grab Partner Zakat dan sumbangan daripada Grab Malaysia dan komuniti rakan penghantar sendiri.

“Pihak kami juga memanjatkan doa buat keluarga Sharipuddin dan kepada keluarga mangsa lain yang terbabit dalam nahas tragis di Elmina,” katanya.

Semalam, 10 mangsa maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat selain seorang pemandu e-hailing dan penunggang motosikal yang melalui jalan itu turut menjadi mangsa.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mempermudahkan segala proses pengurusan jenazah terbabit berikutan keadaan tubuh mangsa yang tidak sempurna.

Semua jenazah akan diuruskan apabila selesai proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sudah diketahui padanannya.

Loading...
Terkini