comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Grab catat keuntungan buat kali pertama

FOTO: NSTP

BENGALURU: Grab Holdings (Grab) mencatat keuntungan teras terlaras buat kali pertama pada suku ketiga 2023, disokong langkah pengurangan kos selain dipacu permintaan kukuh untuk perkhidmatan penghantaran makanan dan perkongsian perjalanan.

Saham Grab melonjak selepas syarikat itu mencatatkan pendapatan suku tahun lebih baik daripada jangkaan dan mengecilkan jangkaan kerugian terasnya untuk tempoh setahun penuh.

Awal tahun ini, Grab mengumumkan penstrukturan semula besar-besaran untuk mengurangkan kos, dengan langkah-langkah termasuk pemotongan perbelanjaan perkhidmatan awan selain mengecilkan insentif pengguna dan pekerja.

Pada Jun, Grab memberhentikan kira-kira 1,000 jawatan, atau kira-kira 11 peratus daripada tenaga kerjanya, dalam pusingan pemberhentian terbesar sejak permulaan COVID-19.

Grab melaporkan pendapatan larasan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak AS$29 juta (RM135.9 juta) bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023.

Hasil kumpulan itu melonjak 61 peratus kepada AS$615 juta (RM2.9 bilion), mengatasi anggaran penganalisis sebanyak AS$590.6 juta (RM2.77 bilion), demikian menurut data LSEG.

Grab kini menjangkakan pendapatan setahun penuh dalam lingkungan AS$2.31 bilion (RM10.8 bilion) hingga AS$2.33 bilion (AS$10.9 bilion), berbanding ramalan awalnya antara AS$2.2 bilion (RM10.3 bilion) dan AS$2.3 bilion (RM10.77 bilion).

Julat kerugian teras terlaras setahun penuh kini ialah AS$20 juta (RM93.7 juta) hingga AS$25 juta (RM117.1 juta), berbanding antara AS$30 juta (RM140.5 juta) dan AS$40 juta (RM187.4 juta) sebelumnya.

Grab disenaraikan di Nasdaq pada Disember 2021 menerusi penggabungan dengan syarikat pemerolehan tujuan khas.

Loading...
Terkini