comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru Besar, Ketua Pembantu Tadbir, dua pengurus syarikat ditahan kerana tuntutan palsu

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Guru Besar, Ketua Pembantu Tadbir dan 2 orang pengurus syarikat atas dakwaan berkomplot membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di Negeri Terengganu yang melibatkan kontrak pembekalan bernilai RM1.3 juta.

Sumber berkata, dalam satu operasi yang dilaksanakan oleh SPRM Terengganu mendapati semua suspek berkomplot dalam mengemukakan tuntutan palsu bermula tahun 2022 sehingga 2023 melibatkan tuntutan ke atas 100 orang murid sedangkan jumlah murid sebenar hanyalah 35 orang.

SPRM Terengganu dalam operasi yang sama turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu melibatkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000.00 di sekolah yang sama.

Katanya lagi, semua suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an dipercayai telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Terengganu ketika hadir memberi keterangan sekitar jam 11 pagi.

Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan tidak menafikan tangkapan susulan berkaitan siasatan ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini