comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru maut, isteri cedera kereta terbabas masuk longkang

Foto hiasan

GERIK: Seorang guru maut manakala isterinya cedera apabila kereta dinaiki terbabas ke dalam longkang di Kilometer 767.7, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu berdekatan Kampung Kenayat, di sini, tengah hari tadi.

Difahamkan, mangsa adalah guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh, Ipoh.

Ketika nahas, pasangan suami isteri itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ipoh dari kampung Allahyarham di Kelantan selepas bercuti sempena Aidiladha.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 12.20 tengah hari membabitkan kereta Proton Saga dinaiki pasangan terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa berusia 59 tahun dengan isterinya berusia 46 tahun di tempat duduk penumpang hadapan, dalam perjalanan dari arah Gerik menghala Kuala Kangsar.

Katanya, setiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam longkang sebelah kiri jalan yang menyebabkan mangsa lelaki itu maut di tempat kejadian.

“Penumpang hadapan kereta terbabit bagaimanapun hanya cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini