comscore
Tumpuan :
Nasional

Guru Sabah menang Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024

Sydney Engelbert dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024. – FOTO: Kementerian Pendidikan/ Facebook

KOTA KINABALU: Seorang guru bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, Sydney Engelbert dari etnik Kadazandusun telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024.

Sydney, 30, dari Kampung Kiawayan di Tambunan, sebuah kawasan luar bandar di Sabah muncul sebagai pemenang keseluruhan Anugerah Guru Dedikasi Cambridge 2024 daripada sejumlah 14,800 calon dari lebih 140 negara.

“Saya sangat bersyukur. Saya tidak pernah terfikir untuk dipilih sebagai pemenang, kerana pencalonan lain semuanya hebat dan saya benar-benar berbesar hati untuk dicalonkan dalam kalangan mereka,” kata Sydney seperti dipetik di laman sesawang https://dedicatedteacher.cambridge.org/.

Kata Sydney, semangat untuk bertanding tinggi apabila mendapat sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan pelajarnya.

Sydney, pemegang ijazah sarjana muda dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), mendapat inspirasi daripada kedua ibu bapanya, yang juga guru, untuk mendalami profesion perguruan.

Sydney mula mengajar pada 2019 dan beliau belajar untuk menangani keupayaan terhad pelajarnya menerusi melalui pelbagai gabungan aktiviti seni dan bahasa.

“Kedua-dua ibu bapa saya adalah guru dan saya membesar dengan melihat bagaimana mereka berjaya membantu dan memberikan inspirasi kepada banyak kehidupan, sepanjang kerjaya mereka,” katanya.

Jelas Sydney, dia sangat bangga dengan sikap yang ditunjukkan ibu bapanya.

“Ramai bekas pelajar masih mengingati mereka sebagai guru mereka. Itulah yang membuatkan saya menceburi profesion ini,” katanya.

Pada tahun 2022, Sydney merintis program kelas pertukaran secara dalam talian bersama beberapa sekolah vokasional di Asia Tenggara dan telah memberi manfaat secara langsung kepada hampir 400 pelajar dan 50 guru dari semua sekolah yang mengambil bahagian.

Program berlangsung selama tiga bulan dan dalam tempoh dua tahun.

Selain itu, dia juga memainkan peranan aktif dalam program pengantarabangsaan lain seperti menjadi tuan rumah kepada pelajar luar negara di sekolahnya.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasminya antara yang turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan Sydney.

Sydney ialah guru kedua memenangi anugerah berprestij itu selepas Khalifa Affnan, juga dari Kolej Vokasional Keningau, memenanginya pada 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini