comscore
Tumpuan :
Nasional

Hadi selesai beri keterangan kepada pegawai penyiasat Bukit Aman

Pegawai Penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah (Terkelas) Bukit Aman hadir mengambil keterangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

PETALING JAYA: Pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman selesai mengambil keterangan Tan Sri Abdul Hadi Awang di pejabat PAS pusat hari ini bagi membantu siasatan bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Setiausaha politik Presiden PAS itu, Syahir Sulaiman memaklumkan bahawa Hadi memberikan kerjasama penuh ketika soalan diajukan berhubung kenyataan dalam artikel berjudul “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan” dan proses rakaman itu selesai kira-kira jam 3.15 petang.

“Tuan guru (Hadi) beri komitmen, kerjasama sepenuhnya. Jumlah soalan boleh tahan juga banyak, beberapa muka surat,” kata Ahli Parlimen Bachok itu kepada pemberita yang menunggu di luar Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan Hadi akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Setiausaha Politik Hadi Awang, Mohd Syahir Che Sulaiman memberi penjelasan kepada media di Pejabat Agung PAS.

Pada 29 Februari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Hadi yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Baginda turut menasihatkan supaya Abdul Hadi lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

Dalam pada itu, Syahir berkata, Hadi juga telah menghantar warkah menjunjung kasih kepada Sultan Selangor semalam yang diserahkan kepada Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini