comscore
Tumpuan :
Nasional

Hakim Mahkamah Syariah perlu bebas kongkongan – PPMM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Meskipun sebagai penjawat awam, hakim Mahkamah Syariah perlu dibebaskan daripada sebarang kongkongan dan memerlukan status sama seperti hakim Mahkamah Sivil.

Ia antara syor penambahbaikan dalam usaha meningkat dan memartabatkan Mahkamah Syariah secara menyeluruh.

Menyarankan demikian, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata perundangan syariah juga perlu dikaji semula bagi memberi kesan lebih baik kepada umat Islam.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Selain itu, katanya, kajian semula perundangan berkenaan penting bagi mengelakkan keputusan mahkamah syariah diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah sivil.

“Kuasa menghukum oleh mahkamah syariah dalam kes jenayah syariah perlu dipertingkatkan lagi, tidak hanya tertumpu kepada hukuman konvensional seperti penjara, denda dan sebatan, sebaliknya hukuman restoratif lain juga perlu diperkenal,” katanya kepada BH.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada sidang Dewan Rakyat memberi penjelasan mengenai penambahbaikan aspek hukuman yang dikemukakan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS).

Syor itu menyentuh perkara dasar berkaitan pemerkasaan mahkamah syariah, termasuk penambahbaikan sistem dan undang-undang syariah, pengurusan, penstrukturan semula dan infrastruktur mahkamah syariah serta pengurusan dan penstrukturan semula JKSM.

Selain itu, berkaitan latihan hakim dan pegawai syariah, sistem pendidikan undang-undang syariah serta penambahbaikan perkara berkaitan hal ehwal penguatkuasaan dan pendakwaan syariah serta peguam syarie.

Mohd Na’im dipetik berkata, usaha berterusan kerajaan bagi memartabatkan mahkamah syariah akan diterajui JKSM dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah negeri dan mahkamah syariah negeri bagi memastikan usaha itu dapat dilaksanakan teratur, seragam dan harmoni.

Pelaksanaan hukuman alternatif yang kini dalam proses penelitian akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara melalui Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461).

Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib Bagi Pesalah Syariah sudah pun disediakan JKSM pada September 2021 sebagai rujukan bersama mahkamah syariah dan jabatan penjara. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini