comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pempetisyen, Mahkamah Sivil tidak menentang Islam – Tengku Maimun

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Petisyen mencabar kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan menggubal beberapa peruntukan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) 2019, tiada kena mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah, demikian ditegaskan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Sedemikian, jika ada pihak mencabar undang-undang yang dibuat Badan Perundangan Negeri yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah atas alasan Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tertentu, dan jika Mahkamah Sivil membenarkan cabaran tersebut, pihak yang mencabar dan Mahkamah Sivil tidak boleh dikatakan menentang Allah, kerana undang-undang yang dicabar itu bukan yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah, tetapi oleh Badan Perundangan Negeri,” katanya.

Beliau yang mengetuai panel sembilan hakim berkata demikian ketika menyampaikan keputusan majoriti 8-1 yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Sementara itu, ujarnya, tidak timbul soal Mahkamah Sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam, atau tidak memperkasakan Mahkamah Syariah jika isu pencabaran undang-undang yang diluluskan Kerajaan Negeri atau Badan Perundangan Negeri dilihat daripada sudut tersebut.

“Maka, melihat kepada cabaran ini sahaja, Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam, Yusfarizal Yusof kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kuasa perundangan kepada semua Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Tengku Maimun, terdapat tiga jenis hukuman di bawah undang-undang Islam iaitu hudud, qisas dan takzir.

Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah manakala qisas yang juga ditentukan Allah adalah hukuman dikenakan hukuman balas seperti nyawa dibalas dengan nyawa dan melukakan dibalas dengan melukakan.

Takzir pula adalah hukuman yang tidak ditentukan Allah tetapi kadar dan bentuk hukuman ditentukan kerajaan atau pemerintah dan akan dijatuhkan kepada penjenayah mengikut budi bicara hakim.

“Mahkamah Syariah di Malaysia, setakat hari ini, tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas, hanya takzir. Mahkamah sivil juga melaksanakan hukuman takzir. Sebegitu, tidak ada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem
Syariah dan Sivil melaksanakan hukuman takzir.

“Perbezaannya cuma hukuman takzir yang dilaksanakan Mahkamah Syariah adalah
bersumberkan atau mengikut undang-undang yang ditetapkan pemerintah di peringkat Negeri dan diluluskan Badan Perundangan Negeri manakala hukuman takzir yang dilaksanakan Mahkamah Sivil adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan pemerintah di peringkat Persekutuan yang diluluskan Parlimen,” katanya.

Tengku Maimun sekali lagi menegaskan bahawa apa yang dicabar dalam petisyen terbabit bukan mengenai kedudukan undang-undang Syariah di Malaysia.

Sebaliknya ia mengenai tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang melangkaui kuasa berkenaan jenis kesalahan yang boleh diluluskan Kerajaan Negeri dalam ruang lingkup ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini