comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu harga telur dijangka naik, tanya Mat Sabu-PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, memberi penjelasan berhubung dakwaan harga telur yang dijangka naik dalam masa terdekat.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai reaksi segera kepada pertanyaan mengenai jangkaan kenaikan harga telur dalam pasaran negara hasil penyelidikan yang dijalankan oleh MIDF Research

“Tanya Menteri Pertanian (dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu),” katanya ringkas kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamaiul-Huda, Ampang hari ini.

Nota penyelidikan MIDF Research menjangkakan, harga telur berpotensi meningkat dalam masa terdekat berikutan bekalan sumber makanan itu yang terhad di Malaysia.

Menurut penganalisisnya, Genevieve Ng Pei Fen, selain bekalan terhad di peringkat domestik, penularan wabak selesema burung global telah menyebabkan bekalan telur di negara lain turut berkurangan.

Mengulas lanjut keadaan itu, Pei Fen berkata ia sekali gus berpotensi menjadikan harga telur import menjadi lebih mahal di negara ini.

“Kami percaya bahawa pengapungan harga ayam tidak akan menyebabkan kenaikan mendadak selepas kawalan harga ditamatkan, namun harga telur mungkin meningkat disebabkan bekalan yang terhad di peringkat domestik dan antarabangsa,” kata penganalisis itu.

Bermula 1 Julai ini, kerajaan mengumumkan harga ayam dan telur tidak lagi disubsidi, sebaliknya akan diapungkan.

Penamatan itu bagi membolehkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun, berbanding harga siling runcit ketika ini.

Loading...
Terkini