comscore
Tumpuan :
Nasional

Hati-hati, dalam parit ada buaya

Tangkap layar video tular memaparkan penduduk melihat kelibat seekor buaya dalam parit di Jalan Mutiara, Kampung Parit Serong, semalam. – Foto ihsan pembaca

TANJONG KARANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor mengesahkan kemunculan seekor buaya di Jalan Mutiara, Kampung Parit Serong, di sini, semalam.

Pengarah PERHILITAN Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, haiwan yang dianggarkan sepanjang 1.8 meter itu ditemui penduduk kampung dalam parit, kira-kira jam 5.30 petang.

Beliau berkata, pihaknya mengesan reptilia itu selepas video mengenainya tular di laman sosial Facebook.

“Berpandukan video terbabit, sepasukan anggota bergegas ke lokasi dan bertemu dengan penduduk.

“Menurut penduduk, mereka melihat kelibat seekor buaya dalam parit tepi jalan kampung itu pagi semalam dan cuba menangkapnya namun gagal.

“Buaya itu masuk semula ke dalam dasar parit dan menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Choon Yung berkata, pihaknya kemudian menjalankan pemantauan di lokasi kejadian dan hasil siasatan mendapati tidak kelihatan kelibat haiwan berkenaan.

“Anggota juga telah menjalankan rondaan di kawasan sekitar tetapi buaya tersebut tidak dijumpai.

“Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan supaya terus menghubungi kami sekiranya ia muncul semula,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama pemantauan juga akan dilakukan di kawasan terbabit.

Terdahulu, tular di laman Facebook video memaparkan penduduk melihat kelibat seekor buaya dalam parit di Tanjong Karang.

Loading...
Terkini