comscore
Tumpuan :
Nasional

Hospital Pasir Gudang dijangka beroperasi April 2025

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (dua dari kiri) meninjau tapak pembinaan Hospital Pasir Gudang. FOTO: NSTP

PASIR GUDANG: Hospital Pasir Gudang di Bandar Seri Alam di Masai di sini dijangka siap lebih awal daripada tempoh dijadualkan dan dijangka mula beroperasi pada April tahun depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan bangunan hospital itu kini siap 83.5 peratus berbanding peratusan dijadualkan iaitu 72.5 peratus.

Beliau berkata, kemajuan projek itu sehingga kini mendahului 60 hari lebih awal dari jadual asal.

Menurutnya, antara faktor yang menyumbang kepada kepantasan pelaksanaan projek ini adalah disebabkan penggunaan teknologi Building Information Modelling (BIM) dan Industrialised Builiding System (IBS) dalam perancangan dan pelaksanaan selain komitmen serta persefahaman yang tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan kontraktor dan pasukan projek.

FOTO: NSTP

Menurutnya juga, pencapaian IBS bagi projek ini adalah 79 peratus dan merupakan salah suatu projek yang berjaya mendapat kelulusan dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi tujuan penyediaan komponen IBS di tapak pembinaan.

Katanya, penggunaan teknologi IBS ini juga dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yang dihadapi ketika era pasca pandemik Covid-19.

“Ia dijangka siap pada Mac tahun depan dan dijangka boleh beroperasi selepas tempoh sebulan penyiapannya.

“Projek yang dilaksanakan secara reka dan bina membabitkan kos RM375.5 juta mempunyai enam skop kerja iaitu membina sebuah hospital bertaraf hospital pakar, kuaters Kelas G, asrama jururawat, bangunan Mekanikal dan Elektrik (M&E), bangunan sokongan serta kerja-kerja infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas meninjau perkembangan Projek Pembinaan Hospital Pasir Gudang yang terletak di kawasan berkeluasan 20.6 hektar di sini hari ini.

Walaupun jarak kedudukannya hanya 10 kilometer (28 minit) dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan 12km (15 minit) dari Hospital Sultan Ismall (HS1), kewujudan Hospital Pasir Gudang dijangka mampu memenuhi keperluan 2 juta penduduk sekitar.

Di samping meningkatkan kapasiti bagi mengurangkan kesesakan pesakit di dua hospital awam itu, Hospital Pasir Gudang ini dijangka akan dilengkapi dengan fasiliti perubatan dan kesihatan bertaraf dunia.

Hospital berkenaan akan dilengkapi dengan 304 katil, 14 perkhidmatan pakar, 8 bilik pembedahan, 65 bilik konsultasi (rawatan pesakit luar), 30 kerusi dialisis, 16 bilik bersalin, 36 unit kuaters, 50 unit asrama jururawat, lebih 1,000 ruang parkir dan farmasi pandu lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini