comscore
Tumpuan :
Nasional

Hubungan akrab Malaysia-Indonesia selesaikan isu berlarutan puluhan tahun

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Hubungan akrab sebagai satu keluarga dan sahabat, selain komitmen pemimpin kedua-dua negara, berjaya menyelesaikan isu Malaysia-Indonesia yang berlarutan puluhan tahun.

 

Ini terbukti dengan pemeteraian beberapa Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Kuala Lumpur dan Jakarta seperti isu sempadan, ekonomi, pelaburan serta tenaga kerja hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan pengalaman dan sejarah hubungan dua hala dengan negara lain, peningkatan kerjasama dan persefahaman antara Malaysia dan Indonesia dalam masa singkat adalah luar biasa.

“Jadi komitmen Presiden Indonesia (Joko Widodo) itu sangat jelas, sebab itu pengarahan kita dan disambut baik, satu jalur keras, satu jalur sederhana. (Hubungan) itu sangat akrab dan memudahkan dan saya berbangga pimpinan kedua-duanya hari ini, kita dapat selesaikan satu isu yang telah kita runding selama berpuluh tahun.

“Hari ini kita saksikan ada yang soal kecil, yang kita putuskan mengikut instruksi (arahan) Presiden. Dari segi perdagangan dan pelaburan itu penting, sebab itu kita beri penumpuan lebih dalam persefahaman ini tentang pelaburan langsung asing, pelaburan di sempadan yang dipermudahkan.

“Beberapa keputusan itu dilaksanakan termasuk soal pekerja asing (TKI) dan soal sempadan kerana cara kita mendukung ibu negara Indonesia, Kalimantan ialah untuk memperkukuh pembangunan di sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi di Kompleks Seri Perdana di sini, sempena lawatan kerja dua hari Presiden Indonesia itu ke Malaysia.

Terdahulu, Anwar dan Jokowi menyaksikan pertukaran enam instrumen dua hala antaranya Perjanjian Lintas Sempadan Antara Malaysia dan Indonesia; Perjanjian Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Bahagian Paling Selatan Selat Melaka dan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi.

Turut ditandatangani Perjanjian Perdagangan Sempadan, Promosi Pelaburan serta Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal Bagi Produk Domestik.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerjasama dua hala itu telah sampai ke tahap sangat membanggakan dan akan memberi faedah serta manfaat bukan sahaja kepada pemerintah dan kerajaaan tetapi kepada rakyat kedua-dua negara.

Di pentas sama, Perdana Menteri menzahirkan ucapan tahniah kepada menteri berkaitan yang membawa satu suara Malaysia-Indonesia ke
Eropah dalam mempertahankan kepentingan kelapa sawit demi ekonomi negara serta rakyat.

“Ada satu aspek yang Presiden Jokowi tekankan begitu tegas di G7 (Kumpulan Tujuh) dan beberapa forum antarabangsa lain untuk menjaga dan pelihara kepentingan pusat dagang kita, pengeluaran kelapa sawit bukan sahaja untuk syarikat besar tapi juga untuk pekebun kecil. Kita sambut dengan baik,” katanya.

Tambah Anwar, kerjasama dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dan peningkatan soal kebudayaan, pendidikan, kegiatan dakwah yang sederhana serta pemahaman Islam akan diteruskan.

Loading...
Terkini