comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] EKSKLUSIF JOKOWI: Dekati rakyat untuk rangka dasar yang tepat – Jokowi

 

JAKARTA: Mendekati secara bersemuka menjadi cara Presiden Indonesia, Joko Widodo lebih cakna terhadap keperluan rakyat Indonesia.

Bagi Presiden Jokowi, amat penting untuk mendengar suara rakyat sehingga ke akar umbi supaya bentuk dasar yang dirangka kerajaan tepat dan memenuhi keperluan semasa.

Presiden Indonesia, Joko Widodo menjadi tumpuan penduduk tempatan ketika rakaman di Sarinah Mall, Jakarta.

“Keperluan asas rakyat kita perlu tahu. Pertama pendidikan dan kedua kesihatan. Kami memberikan Kad Indonesia Pintar (KIP) dan Kad Indonesia Sehat (KIS) kepada rakyat supaya mereka boleh ke hospital dan mendapatkan biasiswa di semua sekolah dasar, tengah serta universiti, kerana rakyat amat memerlukannya.

“Kita perlu sampai ke akar umbi supaya perancangan dasar adalah tepat. Jika tidak mengenali rakyat maka pemimpin tidak akan tahu,” katanya dalam temu bual santai bersama TV3, di sini, baru-baru ini.

Artikel berkaitan: EKSKLUSIF JOKOWI: Malaysia & Indonesia mampu jadi pengeluar terbesar sawit dunia

Pengacara, Fiza Sabjahan ketika menemubual Presiden Indonesia, Joko Widodo di Sarinah Mall, Jakarta.

Dalam sesi temu bual ini, pengacara Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan atau Fiza Sabjahan berpeluang mengenali pemimpin nombor satu Indonesia ini secara eksklusif.

Antara yang dikongsi adalah tips penjagaan kesihatannya iaitu pengambilan minuman herba setiap pagi selain melakukan aktiviti jogging dan berbasikal.

Jokowi turut dikenali sebagai penyokong produk tempatan kerana dari segi kualiti, keselesaan dan harganya yang lebih murah.

Ditanya mengenai penampilannya yang sentiasa memakai kemeja bewarna putih, secara berseloroh beliau menjawab “kerana kalau beli, murah.”

Artikel berkaitan: Indonesia-Malaysia saudara serumpun – Jokowi

Sepanjang rakaman Pasar Tanah Abang dan Sarinah Mall, Jokowi disapa penduduk tempatan dan disambut beliau dengan penuh mesra.

Bahkan beliau tidak kekok menerima permintaan rakyat untuk berswafoto.

“Jika kita tidak berani seperti itu (untuk berswafoto) tidak mungkin kita dapat mendekati rakyat. Ia ada risikonya, cuma harus sentiasa bersiap sedia,” katanya.

Artikel berkaitan: ASEAN tak akan jadi proksi China dan mana-mana negara – Jokowi

Fiza yang berkongsi pengalamannya bersama Harian Metro berkata, Jokowi adalah seorang sangat sederhana dan tenang menyebabkannya rasa selesa walaupun sebelum pertemuan agak gementar.

Katanya, sebelum sesi temu bual itu, dia diberi peluang untuk bertemu dengan Jokowi dan berborak santai.

“Presiden Jokowi ini kita lihat peribadinya sangat sederhana, merendah diri dan beliau adalah seorang Presiden yang mudah untuk kita dekati.

“Selalunya jika kita baca atau lihat karakter pemimpin besar, tentu kita rasa takut dan sebagainya, perasaan (gementar) itu ada.

“Tetapi apabila berhadapan dengan Presiden Jokowi, orangnya sangat sederhana, sangat merendah diri, jadi kita pun automatik rasa lebih selesa,” katanya.

Artikel berkaitan: TV3 siar program eksklusif bersama Jokowi

Eksklusif di TV3, program bual bicara khas ‘Eksklusif Bersama Joko Widodo Presiden Republik Indonesia’ membincangkan isu-isu kepentingan Asean dan gaya hidup sosok pemimpin yang disegani serta popular dalam kalangan rakyatnya, jam 9 malam ini.

Loading...
Terkini