comscore
Tumpuan :
Nasional

Hujan 2 jam, air naik mendadak

Foto: NSTP

GURUN: Empat kampung di sini dilanda banjir kilat tengah malam tadi berikutan hujan lebat lebih dua jam.

Kejadian banjir kilat berlaku jam 12 tengah malam membabitkan Kampung Sungai Kunyit, Kampung Sungai Badak, Kampung Jelatang dan Kampung Belakang Mahkamah Gurun.

Penduduk tidak sempat menyelamatkan barang akibat banjir kilat yang melanda rumah penduduk di sekitar daerah Gurun. – Foto: NSTP

Penduduk menyelamatkan diri dan keluarga masing-masing berikutan air naik dengan cepat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad, berkata hujan lebat yang bermula jam 10.25 malam tadi menyebabkan kawasan di Mukim Gurun dinaiki air.

“Punca kejadian banjir kilat itu adalah disebabkan limpahan air secara mengejut dan berlebihan.

“Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan harta benda mangsa berikutan paras kedalaman air setinggi antara 0.3 meter hingga 0.5 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penduduk kampung menunjukkan paras air yang memasuki rumah dengan cepat berikutan hujan lebat lebih dua jam di Mukim Gurun tengah malam tadi. – Foto: NSTP

Azahar berkata, setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan tiada mangsa yang berpindah dari kediaman masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan penduduk kampung yang terjejas dalam banjir kilat itu supaya berpindah jika keadaan semakin buruk.

Katanya, pihaknya masih melakukan bancian jumlah penduduk di empat Kampung berkenaan yang terjejas akibat banjir kilat itu.

“Kami turut menasihatkan mangsa supaya membuat laporan polis berikutan kerosakan barangan milik mereka akibat kejadian itu.

“Bagaimanapun tiada mangsa yang dilaporkan cedera dan keadaan ketika ini terkawal,” katanya.

Azahar berkata, walaupun air mulai surut ketika ini, namun penduduk kampung berkenaan dinasihatkan supaya berhati-hati serta mengambil langkah persediaan sekiranya hujan lebat berulang hingga mengakibatkan banjir kilat di situ.

Loading...
Terkini