comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Influencer’ antara lebih 200 ditahan malam raya

Sebahagian daripada 284 individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan sempena malam Hari Raya Aidiladha di Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah. Foto : NSTP

ALOR SETAR: Seorang pempengaruh media sosial antara 284 individu ditahan dalam Op Samseng Jalanan pada malam Hari Raya Aidiladha di Jalan Pegawai di sini, malam tadi.

Pemuda berusia 23 tahun dari Kuala Lumpur itu ditahan kerana menonton perlumbaan motosikal di kawasan terbabit.

Dia memberi alasan datang ke negeri ini kerana berniaga tetapi singgah di Jalan Pegawai kerana bosan.

Bagaimanapun, dia kemudian dibebaskan selepas diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dalam operasi itu, semua penunggang  yang ditahan diarah menolak motosikal masing-masing sejauh tiga kilometer dari Jalan Pegawai ke Balai Polis Trafik Kota Setar sehingga jam 4 pagi tadi.

Beliau berkata, daripada jumlah 284 yang ditahan, 281 daripada adalah lelaki manakala tiga adalah wanita dan kesemua mereka berusia antara 15 hingga 20-an.

“10 daripadanya adalah remaja bawah umur berusia antara 15 hingga 18 tahun dan lapan daripadanya masih bersekolah.

“Sebanyak 284 buah motosikal diperiksa dalam operasi itu yang mana 50 motosikal disita kerana pelbagai kesalahan dan disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sebanyak 194 saman dikeluarkan atas 194 kesalahan yang dilakukan iaitu tiada lesen memandu (47), nombor pendaftaran (40), ubah suai (25), cermin sisi (23) , tidak pamer pelekat ‘P’ dan ‘L’ (22), aksesori (17), tiada insuran (12), cukai jalan tamat tempoh (5) dan lesen tamat tempoh,” katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Kota Setar, hari ini.

Motosikal yang dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar kerana disyaki terbabit dalam aktiviti lumba haram .- Foto : NSTP

 

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh yang turut hadir, memberi nasihat kepada individu yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Ahmad Shukri berkata, polis memanggil ibu bapa penunggang yang tidak mempunyai lesen memandu sebelum dibebaskan selepas diambil keterangan.

Pihaknya turut mengeluarkan saman terhadap pemilik motosikal yang membenarkan individu tiada lesen memandu atau penunggang di bawah umur.

Operasi disertai dua pegawai dan 30 anggota termasuk sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM).

Loading...
Terkini