comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Insiden bom lempar meletup TUDM, seorang lagi disahkan maut

 

TAMPIN: Seorang lagi anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan meninggal dunia selepas terkena bom lempar yang meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.

Perkongsian di laman Facebook Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

FOTO: Facebook Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

“Mendapat perkhabaran duka kejadian letupan bom lempar yang mengorbankan seorang jurulatih dan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran Dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan (INSTAR) semasa latihan menembak senjata dan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin, petang tadi.

“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib Bidin dan Leftenan Udara I Mohd Iqmal Masdi.

“Gugurnya perajurit dalam latihan demi mempertahankan negara. Semoga ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan keredaan dengan ketentuanNya jua,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang anggota TUDM maut selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin, hari ini.

Difahamkan dua jurulatih lagi parah dalam kejadian jam 12 tengah hari ketika mereka menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di tapak latihan kem terbabit.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab dilaporkan berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dengan bantuan daripada pasukan forensik IPK Negeri Sembilan yang turut berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Setakat ini siasatan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Loading...
Terkini