comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Insiden tampar atlet: Guru hilang kelayakan jadi jurulatih sukan termasuk jadi jurulatih murid sekolah

Oleh Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan jurulatih yang terlibat dalam insiden menampar atlet dua minggu lalu, tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuk menjadi jurulatih untuk murid sekolah.

Keputusan pembatalan kelayakan kejurulatihan itu menegaskan bahawa kedua-dua kementerian itu tidak akan sesekali berkompromi khususnya dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet-atlet.

KBS dan KPM berpendirian senada selepas Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) membatalkan lesen jurulatih itu melalui Jawatankuasa Perundangan dan Disiplinnya.

“Majlis Sukan Negara dan MAVA, kedua-duanya telah memuktamadkan siasatan mereka, yang mana secara sebulat suara memutuskan bahawa jurulatih bola tampar itu sepatutnya hilang kelayakannya daripada menjadi seorang jurulatih,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu sidang media bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Putrajaya, tengah hari tadi.

Ujarnya lagi, KBS telah mengarahkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan, Institut Sukan Negara memastikan pelaksanaan peraturan yang mewajibkan setiap jurulatih memperbaharui lesen kejurulatihan yang diperolehi oleh mereka sebagai pengiktirafan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) setiap dua tahun sekali diperketatkan lagi bagi memastikan jurulatih-jurulatih sukan negara sentiasa dipantau perkembangan dan keaktifan karier kejurulatihan mereka itu.

Penguatkuasaan peraturan tersebut juga membolehkan pihak akademi dan pemegang taruh yang lain mengemas kini data selain turut dapat membantu jurulatih-jurulatih meningkatkan lagi kemahiran mereka melalui “upskilling dan reskilling” dengan pendekatan kejurulatihan dan teknologi terkini.

Tambahnya lagi, itu insiden itu turut membuka mata bahawa terdapat keperluan untuk mewajibkan semua jurulatih kepada murid sekolah, untuk menjadi sebahagian daripada Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan, SLKK, dan SPKK.

Justeru KPM akan bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara bagi melengkapkan jurulatih kepada pelajar sekolah dengan pensijilan yang diperlukan.

Ini adalah penting untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat, saling hormat-menghormati serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan dan penderaan.

Dalam pada itu, siasatan KPM berkaitan insiden tersebut itu selesai dijalankan.

KPM juga telah meneliti secara terperinci hasil laporan siasatan tersebut daripada pelbagai sudut, khususnya yang melibatkan etika serta imej profesion perguruan.

Fadhlina mengulas, guru yang juga merupakan penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan 4(2)(d), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“KPM amat prihatin serta cakna akan aspek keselamatan dan kebajikan murid semasa di sekolah mahu pun ketika mengikuti aktiviti kokurikulum di luar, serta KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid menjadi keutamaan, justeru semua pihak yang terlibat perlu mengambil berat dan memberi perhatian untuk mengelak atau mengawal daripada berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini.”

Ujarnya, selaras Peraturan 4(2)(d), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Jabatan Pendidikan Negeri boleh mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan tindakan tidak wajar melanggar peraturan atau melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan pertikaian oleh masyarakat melalui aspek keselamatan yang diterapkan oleh warga guru terhadap murid.

Loading...
Terkini