comscore
Tumpuan :
Nasional

Kadar keciciran murid peringkat rendah menurun

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

KUALA LUMPUR: Kadar keciciran murid pada peringkat rendah menurun daripada 0.29 peratus pada tahun 2017 kepada 0.06 peratus pada tahun 2023.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata bagi peringkat menengah, kadar keciciran menurun daripada 1.36 peratus pada tahun 2017 kepada 0.83 peratus pada tahun tempoh sama.

“Bagi sekolah rendah di bandar, kadar murid yang keluar daripada sekolah KPM adalah 0.37 peratus, manakala sekolah rendah di luar bandar adalah 0.10 peratus.

“Untuk peringkat menengah pula, kadar murid yang keluar daripada sekolah KPM adalah 3.13 peratus di bandar dan 4.67 peratus di luar bandar,” beliau berkata demikian ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

Tambahnya Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan pelbagai strategi dan usaha pembaharuan untuk mengurangkan jurang pendidikan.

Ia termasuk menyediakan sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan bagi tahun lalu yang terdiri daripada 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum.

Bantuan terbabit juga turut diagihkan untuk murid yang tercicir akibat kemiskinan.

Selain itu, Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dan program pendidikan kerjaya di sekolah juga diadakan sebagai satu usaha untuk mengenal pasti keperluan murid semasa sesi persekolahan dan meningkatkan kesedaran murid terhadap kepentingan belajar, menduduki peperiksaan SPM, mengembangkan potensi, sikap dan hala tuju kerjaya turut dilaksanakan oleh KPM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini