comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu Lebuh raya gelap Perling ke Pasir Gudang selesai 3 bulan lagi – MB Johor

Lokasi kejadian dashcam, dari perling menghala ke lebuhraya pasir gudang.

JOHOR BAHRU: Isu jalan gelap di Lebuh Raya dari Perling – Pasir Gudang di sini, dijangka akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan lagi.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek pencahayaan lampu jalan di kawasan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Katanya, kerajaan negeri mengambil maklum berkenaan isu kemalangan jalan raya yang sering berlaku di kawasan itu.

“Kerja-kerja pemasangan 170 tiang lampu di laluan (FT17) Kilometer 2.6, Jalan Pasir Gudang sehingga Kilometer 9.4, Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling, akan dijalankan pada September depan.

“Kerajaan negeri mengambil maklum berkenaan isu kemalangan jalan raya yang tular dari Perling menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang yang berpunca daripada ketiadaan lampu jalan di laluan berkenaan,” katanya sebagai reaksi balas sebuah video tular kemalangan di laluan terbabit.

Dalam video tular berdurasi 20 saat, ia memaparkan sebuah kereta dan motosikal kemalangan akibat mengelak babi hutan yang melintas dalam keadaan jalan raya yang gelap.

Video itu mendapat reaksi negatif netizen yang beranggapan situasi jalan gelap dan rosak tidak seharus berlaku di Johor yang berstatus negeri maju.

Menurut Onn Hafiz, jalan itu juga terbabit dalam projek pelebaran Lebuhraya Pasir Gudang (Fasa 3) yang ketika ini sedang dalam proses pelantikan perunding oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, projek itu akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan dijangka bermula awal tahun depan.

“Terima kasih kepada MBJB dan KKR atas inisiatif baik ini. Saya amat berharap supaya kerja-kerja menaik taraf ini dapat dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Semoga usaha ini dapat mewujudkan sistem rangkaian jalan raya yang lebih kondusif dan selamat buat semua pengguna. Insya-Allah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini