comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu ‘menara tanpa kuali’ di Miri selesai

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid & Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Isu menara yang tiada perkhidmatan 4G Internet, atau ‘menara tanpa kuali’ di Sarawak akhirnya menemui jalan penyelesaian oleh Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, perbelanjaan lebih RM1 bilion bagi kesemua menara dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan negeri Sarawak di bawah Projek SMART600 melibatkan pembinaan dan pengendalian 600 buah menara telekomunikasi oleh syarikat milik Kerajaan negeri itu (pengendali menara).

“Secara dasarnya, Kerajaan Persekutuan dan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih utama iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications telah bersetuju untuk berkongsi kos yang perlu dibayar kepada pengendali menara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man mengenai tindakan segera bagi mengatasi isu menara tanpa kuali di Sarawak.

“Pembiayaan dari Kerajaan Persekutuan dan pihak syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih melibatkan satu jumlah yang tidak melebihi RM207 juta iaitu RM119.4 juta oleh Kerajaan Persekutuan melalui MCMC dan Kementerian Kewangan, dan RM87.3 juta oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih untuk menara-menara yang berkaitan bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2024 sehingga tahun 2026,” ujarnya.

Jelasnya selepas tempoh tersebut, syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih akan menanggung sepenuhnya kos bayaran kepada pengendali menara.

Fahmi berkata, setakat ini sebanyak 3,000 kawasan pedalaman dan luar bandar telah dikenal pasti dan akan mendapat manfaat di bawah inisiatif ini serta membantu menamatkan isu berkenaan yang telah berlarutan sejak tahun 2019 di negeri Sarawak.

Pengoperasian menara-menara ini bagi penyediaan perkhidmatan 4G adalah secara berperingkat dan akan bermula seawal Januari 2024.

Loading...
Terkini