comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu pemberimilikan tanah keluarga Amar Baharin berlaku akibat kesilapan teknikal

SHAH ALAM: Isu pertindihan plot ke atas pemberimilikan tanah milik keluarga pelakon Amar Baharin di Semenyih berlaku disebabkan kesilapan teknikal semasa proses membuat carta secara manual ke dalam lembar lito (litho sheet) di Unit Teknikal Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL).

Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dalam kenyataan memaklumkan ia berikutan terdapat dua permohonan pemberimilikan secara berkelompok yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di kawasan yang sama pada 1978 dan 1995.

Menurutnya keadaan itu mengakibatkan berlaku pengeluaran dua hakmilik atas satu plot tanah yang sama sebagaimana yang dibangkitkan oleh pengadu.

“Dapatan ini adalah hasil daripada siasatan yang diterima melalui PDTHL yang mentadbir kawasan pentadbiran tanah Daerah Hulu Langat,” menurut kenyataan itu.

Semalam Menteri Besar Datuk Seri Amirudin ketika mengulas isu itu berkata status tanah milik keluarga pelakon berkenaan yang dipindah milik kepada orang lain tanpa pengetahuan, telah diratifikasi semula dan pihaknya akan berhubung dengan Amar Baharin bagi memaklumkan perkara itu.

Pelakon berkenaan sebelum ini dilaporkan menuntut penjelasan PTGS berhubung kes tanah milik keluarganya yang terletak di Semenyih dikesan dikeluarkan geran kepada orang lain, dan beliau turut mempersoalkan pihak yang meluluskan geran kedua untuk individu lain, selain bayaran penjualan tanah itu diberi kepada siapa sedangkan cukai tanah dibayar oleh ibunya.

Dalam kenyataan sama PTGS memaklumkan pihak PDTHL telah berjaya mengenal pasti satu plot tanah yang berhampiran bagi menggantikan tanah yang bertindih itu, dan PDTHL akan memanggil pemilik tanah terbabit untuk memberikan penerangan mengenai proses penggantian plot tanah berkenaan.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini