comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Isu PN terima duit judi, dakwaan adalah fitnah dan tuduhan serius

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya adalah fitnah dan tuduhan serius.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, semalam menyatakan tidak ada satu pun petanda bahawa perkara yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berhubung dakwaan itu betul.

“Jadi bagi saya pertuduhan itu fitnah dan suatu pembohongan…. kita akan bincang dengan peguam apa langkah seterusnya yang kita akan ambil terhadap kenyataan yang dibuat oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri itu.”Insya-Allah kita akan teliti dan yang penting …yang pertama, kita akan tuntut supaya mereka memohon maaf.

“Ini satu fitnah dan pertuduhan yang berat. Selepas itu saya tengok apa mereka akan lakukan selepas itu. Insya-Allah,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding sebutan tujuh kes menggunakan kedudukan dan menerima wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen hari ini.

Semalam, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa parti PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan bagaimanapun agensi itu mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.

Sehubungan itu, kata Azalina dalam jawapan bertulis itu, tiada apa-apa fail siasatan dibuka.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam sidang medianya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

Loading...
Terkini