comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isu stoking kalimah Allah: Polis akan panggil pengurusan KK Mart, 42 laporan diterima

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Polis telah merakam keterangan pengadu dan akan memanggil pengurusan KK Mart dalam masa terdekat berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Buletin TV3 memaklumkan siasatan pihaknya akan merangkumi segenap aspek.

Ini termasuk meneliti kontrak pembekalan barangan berkenaan sehingga ia dikesan dijual di kedai serbaneka itu.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata sebanyak 42 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan isu tersebut dan pihaknya sudah membuka dua kertas siasatan.

Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-undang, D5, Bukit Aman.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan.

Jelas Datuk Seri Mohd Shuhaily, kes masih di peringkat siasatan dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

PDRM turut mengingatkan ornag ramai supaya cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara melalui media sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini