comscore
Tumpuan :
Nasional

Isuzu rempuh lori tentera hingga berpusing

Kemalangan membabitkan tiga buah lori tentera dan sebuah lori syarikat kurier di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara yang menyebabkan tiga anggota tentera maut. FOTO: NSTP

SUNGAI PETANI: Tiga anggota tentera yang maut akibat dirempuh sebuah lori yang terbabas di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara hari ini meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata kemalangan pada jam 10.30 pagi itu membabitkan tiga buah lori tentera jenis Hicom dengan sebuah lori syarikat kurier.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua lori tentera itu bergerak dari Kem 3 Rejimen Sempadan menuju ke Kem 30 Briged, Perlis manakala lori syarikat kurier jenis Isuzu itu bergerak dari Kulim ke Alor Setar untuk menghantar parcel.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila tiga buah lori tentera terbabit berhenti di lorong kecemasan kerana salah sebuah lori tentera itu mengalami kerosakan. Namun secara tiba-tiba datang sebuah lori syarikat kurier dari arah belakang lorong kiri dipercayai melanggar bahagian belakang lori tentera yang rosak itu.”

Perlanggaran itu menyebabkan lori kurier terbabit berpusing ke kiri dan melanggar pula bahagian belakang sebelah kanan sebuah lagi lori tentera  yang berada di kedudukan tengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata lori tentera kedua yang dilanggar itu kemudian menggelongsor ke hadapan terlanggar bahagian belakang lori tentera yang berada di kedudukan paling hadapan.

Beliau berkata ketika kejadian, ketiga-tiga pemandu lori tentera itu dipercayai berada di sebelah sisi kanan lori tentera yang mengalami kerosakan paling awal itu.

“Akibat kemalangan, ketiga pemandu lori tentera terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori syarikat kurier terbabit mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa yang terkorban adalah pemandu ketiga-tiga lori tentera itu dikenali sebagai Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, Koperal Mohd Asri Idris, 40, dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30.

Kesemua mereka bertugas di Kem 3 Rejimen Sempadan, Pengkalan Hulu, Perak.

Zaidy berkata pemandu lori syarikat kurier berusia 31 tahun yang beralamat di Alor Setar itu patah kaki kiri dan cedera di kepala akibat kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini