comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jabatan sudah beri bantuan kebajikan dan penghargaan sebelum isu tular pegawai terabai – Imigresen Sabah

 

Oleh: Safwan Sawi 

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah telah mengambil pelbagai tindakan sewajarnya sebelum insiden tular kebajikan seorang pegawainya yang terabai, kata Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff.

Menjawab isu tular itu jelas Datuk Sitti, pihaknya sentiasa menjadikan kebajikan pegawai sebagai salah satu keutamaan apabila menerima laporan pegawai yang jatuh sakit dan menjalani rawatan perubatan.

“Berhubung isu tular tersebut, jabatan telah bertindak sewajarnya dengan meluluskan permohonan rayuan daripada pegawai yang memohon untuk bertukar tempat bertugas bagi memudahkannya dijaga oleh ahli keluarga.

“Atas keprihatinan jabatan beberapa sesi lawatan ke rumah kediaman pegawai juga telah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial seorang penguatkuasa JIM Sabah meluahkan kekecewaan apabila kebajikannya tidak dijaga setelah cedera ketika bertugas.

Antara luahannya menerusi akaun facebooknya dikenali Rowe Gone berkata tiada wakil dari unit kebajikan datang melawatnya sejak beliau terlantar sakit Mac tahun lalu.

“Saya operate then stay dlm wad hospital Queen 1 pun kamu still xda masa melawat? Begini ka kamu layan pegawai yang cedera semasa bertugas? Kalu begini la,sia-sia enforcement buat kerja berabis..Ada sampai meninggal masa ops..pingat pun kamu tiada bagi,” antara luahan status yang dimuat naik Rowe Gone di facebook beliau yang tular sejak semalam.

Namun menurut kenyataan penjelasan Datuk Sitti hari ini, pada 13 Jun 2022 dan 23 September 2022 sumbangan turut diserahkan kepada pegawai pada tarikh terbabit.

“Dimaklumkan juga bahawa pegawai berkenaan telah diberi penghargaan atas perkhidmatan di JIM Sabah dan dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021,” katanya.

Jelas Datuk Sitti lagi sijil berkenaan turut diserahkan kepada pegawai dalam sesi lawatan tersebut.

“Jabatan juga turut mengambil maklum akan kesihatan pegawai dan telah membantu menguruskan permohonan kemudahan rawatan perubatan bagi tujuan membiayai pembelian alat perubatannya,” katanya lagi.

Pegawai itu juga ujarnya telah dimasukkan ke hospital pada 22 Jun 2023 untuk tujuan pembedahan dan telah selesai menjalani pembedahan pada 23 Jun 2023.

Pegawai itu juga dibenarkan pulang dari hospital pada 25 Jun 2023 dan telah diberi cuti sakit sehingga 17 Julai 2023.

“Oleh itu dinasihatkan agar orang awam tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kekeliruan khususnya kepada jabatan dan masyarakat secara amnya.

“Jabatan turut mendoakan kesejahteraan kesihatan pegawai dan semoga beransur sembuh serta dapat kembali menjalankan tugas,” katanya.

Loading...
Terkini