comscore
Tumpuan :
Nasional

Jaga kepentingan semua, FAMA usaha pastikan harumanis tidak naik harga

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Saban tahun menjelang musim pengeluaran Harumanis, pengguna sering dibayangi dengan kenaikan harga buah ikonik Perlis itu yang dikaitkan dengan peningkatan kos di ladang dan input pertanian.

Faktor cuaca yang memainkan peranan penting dalam penghasilan buah berkualiti turut memberi kesan kepada penentuan harganya yang berubah-ubah setiap musim.

Namun, mengambil kira situasi pendapatan pengguna, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis, Mohd Sharizan Mansor berkata, pihaknya cuba memastikan harga ‘raja mangga’ itu tidak meningkat atau lebih rendah berbanding musim lepas.

“Setakat ini, kita dengan kerajaan negeri dan pihak-pihak terlibat seperti Jabatan Pertanian dan pengusaha sendiri belum membuat penyelarasan harga harumanis.

“Tetapi, FAMA nak jaga kepentingan pengeluar dan pengguna jadi kita akan pastikan harga tidak meningkat atau lebih rendah. Walaupun kita faham kos input pertanian meningkat tapi kita ambil situasi pendapatan pengguna untuk penetapan harga tersebut,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Terus Dari Ladang, di perkarangan pejabat FAMA negeri Perlis di sini.

Ujarnya, penyelarasan harga harumanis akan diumumkan sebelum musim penuaian harumanis yang dijangka pada April ini.

Berdasarkan rekod FAMA, pengeluaran hasil harumanis adalah sekitar 1, 800 metrik tan pada 2021 namun berkurangan antara 1, 400 metrik tan hingga 1, 500 metrik tan, tahun lepas.

FAMA turut menjangkakan penyusutan hasil sekitar 30 peratus tahun ini berdasarkan faktor hujan berpanjangan sebelum ini yang merosakkan proses pembungaan dan putik buah menjadi kehitaman.

Menurut Mohd Sharizan, ketika ini di Perlis, keluasan tanaman harumanis adalah sekitar 1, 600 hektar, berbanding beberapa tahun kebelakangan cuma 1, 400 hektar.

Loading...
Terkini