comscore
Tumpuan :
Hiburan

Jaga ‘rumah tangga’ kita!

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon terkenal Aziz M Osman menganggap isu ‘melenjan’ pekerja produksi sehingga 20 jam amat memalukan terutama apabila masalah itu dikongsikan di media sosial.

Menurut Aziz, 60, masalah ‘rumah tangga’ yang berlaku dalam industri seni tanah air wajar diselesaikan secara kekeluargaan, bukan didedahkan kepada umum sehingga mengaibkan pihak terbabit.

“Masalah ‘rumah tangga’ kita perlu diselesaikan secara dalaman bukan diceritakan pada orang luar. Apabila orang luar tahu hal macam ini, ia jadi amat memalukan.

“Sampai ada persatuan yang menulis surat kepada menteri untuk pecat orang itu orang ini dan ia sangat tidak beretika sebab ini ‘rumah tangga’ kita.

“Ia sekali gus memalukan kami sebagai penggiat industri,” katanya mengulas isu kerja lebih masa sehingga 20 jam sehari dalam kalangan pelakon dan kru yang tular baru-baru ini.

Menurut Aziz, masalah yang timbul itu mampu diselesaikan secara baik sekiranya semua pihak terbabit berkumpul di meja rundingan.

“Dalam sesebuah produksi ada penerbit dan pengurus produksi dan jika ada arahan daripada pengarah untuk bekerja sehingga 48 jam sekalipun, ia boleh dibincangkan sesama sendiri.”Kalau kita bersepakat, isu macam ini boleh diselesaikan secara muafakat,” katanya.

Ditanya pengalamannya sendiri, Aziz berkata, situasi hampir sama pernah berlaku suatu ketika dulu ketika dia mengarahkan filem Femina pada 1994.

“Saya perlu ke Amsterdam, Belanda untuk menyambung pelajaran di sana dan pada masa sama penggambaran Femina masih berlangsung di sini.

“Saya juga terpaksa memberi dua pilihan kepada pekerja dan kru produksi untuk mengelakkan dari masalah.”Saya beritahu mereka sama ada mereka nak ‘pulun’ kerja selama 48 jam sekali gus atau tunggu saya habis belajar di Amsterdam selama empat bulan dan kemudian baru kami sambung penggambaran,” katanya.

Bagaimanapun, kata Aziz, hasil perbincangan, barisan pelakon dan kru tiada masalah bekerja 48 jam untuk menyiapkan penggambaran filem itu.”Ini adalah contoh konflik berlaku pada saya yang diselesaikan secara permuafakatan,” katanya.

Sementara itu, penyanyi, pelakon dan pengarah Datuk Yusry Abd Halim menjelaskan dia mengehadkan waktu bekerja di lokasi penggambarannya sehingga 12 jam saja.

Yusry berkata, produksi perlu bertolak ansur dan berbincang dengan pelakon jika mahu mereka bekerja lebih masa pada hari tertentu.

Menurut Yusry, kerja lebih 20 jam itu agak melampau kerana kalau jika buat hari-hari (penggambaran) pelakon akan ‘pancit’. Bagaimanapun, Yusry tidak menafikan sesekali dia juga terlajak, tetapi mereka berbincang secara baik untuk menyelesaikannya.

Loading...
Terkini