comscore
Tumpuan :
Hiburan

Filem Patriotik Ada Tempat Di Hati Umum

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sambutan hebat penonton terhadap filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya mencatat kutipan hampir RM100 juta membuatkan pengarah Aziz M Osman teruja.

Aziz, 59, yang menghasilkan filem Leftenan Adnan pada tahun 2000 berkata, ia adalah bukti filem kenegaraan atau patriotik masih ada tempat di hati penonton sekiranya dihasilkan dengan baik dan berkualiti.

“Apa yang dicapai bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pengarahnya, Syamsul Yusof tidak pernah jemu melakukan homework mengkaji selera penonton.

“Ini dilakukan pada setiap filem yang diarahkannya. Kesannya, penonton sentiasa menanti dan menyokong filemnya,” katanya.

Menurutnya, filem kenegaraan dan patriotik perlu diperbanyakkan, tetapi bukan kerana semata-mata mengikut trend sambutan filem Mat Kilau.

“Sindrom lambakan filem mengikut trend terbukti merugikan kerana penonton akan jemu. Sebaiknya, setiap filem tidak kira apa genre, perlu dibuat selepas dilakukan kajian dan penelitian.

“Saya juga berpengalaman mengarahkan filem genre ini dan tentunya saya merasa bersyukur dan bangga mengarap filem Leftenan Adnan yang masih diingati hingga kini.

“Untuk menjadi filem yang berjaya merentas zaman, perlu ada tanggungjawab yang tinggi sebab filem membawa pemikiran pengarah,” katanya.

Jika ada yang menyanggah sesebuah filem kenegaraan dengan mengaitkannya berlainan dengan fakta sejarah, Aziz pula berpendapat sebaliknya.

“Filem bukan naskhah sejarah. Hampir semua filem sejarah ‘tidak jujur’ sebab terikat dengan teknik penceritaan. Filem mewakili falsafah dan pegangan pengarah. Pengarah yang baik akan berjaya ketengahkan agendanya. Filem Mat Kilau adalah jatidiri Syamsul yang sangat dekat dengan bangsa Melayu.

“Untuk menghasilkan filem patriotik dan kenegaraan, seorang pengarah mesti ada semangat sayangkan negara yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, pengarah sama ada lama atau baru, perlu peka dengan sejarah bangsa dan ada empati pada perjuangan tokoh.

Aziz berkata, dia bakal menerbit dan mengarahkan filem Kiyai Salleh yang memaparkan kisah tokoh itu menggempur pengganas komunis di Johor pada 1940-an.

“Tarikh penggambaran akan diumumkan dalam masa terdekat ini,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini