comscore
Tumpuan :
Nasional

JAHEIK jadi pencelah kes cabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan

FOTO: NSTP

KOTA BARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) akan bertindak sebagai pencelah dalam prosiding ke atas Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang difailkan oleh seorang peguam dan anak perempuannya di Mahkamah Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri memandang serius kes itu kerana ia melibatkan persoalan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang jenayah syariah di bawah Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Pada 3 Ogos lalu, kami (kerajaan negeri) mengarahkan JAHEIK, sebagai pihak yang berkepentingan dalam menjaga pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan, khususnya berhubung Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindak sebagai pencelah dalam kes itu.

Ini kerana kes itu akan memberi impak yang sangat besar kepada kepentingan Islam, undang-undang Syariah dan kerajaan negeri secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mencabar 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen berkenaan dengan mendakwa peruntukan terbabit adalah tidak sah.

Mereka mendakwa ini kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama dan kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala Dewan Undangan Negeri hanya diberi hak menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Ahmad juga berkata Kelantan menggesa semua umat Islam termasuk tokoh individu dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam agar memainkan peranan masing-masing dengan sewajarnya.

Beliau berkata langkah itu dapat membela dan mempertahan Undang-Undang Syariah khususnya di Kelantan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru semua pihak khususnya pihak berkuasa agama Islam negeri, badan berkanun dan NGO berkaitan agama Islam untuk terlibat dalam kes itu sama ada sebagai pencelah, peguam pemerhati atau sahabat mahkamah.

“Usaha bagi memartabatkan undang-undang syariah merupakan tanggungjawab bersama semua pihak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Loading...
Terkini