comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘JAKIM diarah permudahkan prosedur permohonan sijil halal’

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diarah supaya mempermudah prosedur permohonan dan pembaharuan sijil halal dengan keputusan wajib diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bengkel pensijilan halal wajib diadakan tiga kali setahun kepada pemohon baharu dan yang mahu memperbaharui sijil halal bagi memastikan mereka mendapat garis panduan serta mematuhi semua piawaian yang ditetapkan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, berdasarkan laporan JAKIM, badan itu sudah melaksanakan beberapa langkah pro aktif dalam mempercepat permohonan sijil halal, namun masih ada rungutan yang mendakwa ada proses kelulusan yang memakan masa sembilan bulan dan ada yang tidak mendapat kelulusan selepas dua tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Halal Sector Forum 2023 ‘’Resiliency of Halal Sectors Towards National Socio-Economy’’ di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini

“Ia harus dipermudahkan dan jangan pernah menyusahkan pemohon sijil halal. Perkara ini tidak mustahil dilakukan kerana terdapat kombinasi antara mereka yang arif dalam bidang halal, terdiri daripada pemuka agama yang diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan pengeluaran sijil halal, selain pakar seperti saintis dalam pelbagai bidang seperti makanan, kosmetik, farmaseutikal dan perkhidmatan.

“Saya sudah arahkan mana-mana permohonan wajib diberikan keputusan dalam tempoh 30 hari bekerja. Itu sebabnya pembengkelan ini penting bagi pemohon baharu atau mereka yang mahu memperbaharui lesen diberikan garis panduan.

“Ini bagi memastikan mereka dapat mengikuti semua piawaian dan tidak ada sebab ia harus dilewatkan. Jadi, harus ada keterlangsungan antara proses memperbaiki dan mempercepat pengeluaran sijil halal dengan persepsi di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Sektor Halal 2023 sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Loading...
Terkini