comscore
Tumpuan :
Nasional

Jalan Kota Kinabalu-Sandakan terputus akibat pembetung runtuh

Keadaan jalan terputus di laluan Kota Kinabalu – Sandakan di Kilometer 109.378 di Jalan Riverside, Ranau. – FOTO: Ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di kawasan Ranau ditutup sementara kerana kegagalan pembetung yang runtuh dan jalan terputus akibat hujan lebat berterusan sepanjang hari, semalam.

Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, kejadian kegagalan pembetung di kawasan KM 109.378, Ranau itu membahayakan laluan berkenaan dan tidak boleh dilalui sebarang jenis kenderaan.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu menyebabkan ratusan kenderaan terkandas namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Pengguna jalan raya boleh melalui laluan alternatif melalui Jalan Sinarut Baru Togudon Baru (hanya untuk kenderaan Kecil).

“Semua pengguna jalan raya dimohon untuk mematuhi arahan dan papan tanda keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” menurut kenyataan itu.

Jalan Kota Kinabalu-Sandakan adalah antara jalan utama menghubungkan Pantai Barat dan Timur negeri ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat pada 8.35 malam tadi untuk beberapa kawasan antaranya di Pantai Barat Sabah melibatkan daerah Ranau, Tuaran dan Kota Belud hingga 1 pagi.

Loading...
Terkini