comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Jangan buat kenyataan menghasut babit isu enakmen syariah Kelantan’ – Ketua Hakim Negara

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengingatkan semua pihak supaya menegakkan prinsip undang-undang dan tidak membuat sebarang kenyataan bersifat menghasut berhubung isu enakmen syariah Kelantan.

Tengku Maimun memberi peringatan itu ketika mempengerusikan panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan pada pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Terdahulu, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili pempetisyen, membawa perhatian mahkamah terhadap kenyataan peguam Yusfarizal Yusoff, yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, mengenai isu dalam pendengaran berkenaan.

Tengku Maimun kemudian bertanyakan kepada Yusfarizal sama ada beliau membuat kenyataan terbabit .

Tengku Maimun berkata, kenyataan yang dibuat oleh di luar mahkamah adalah kenyataan yang mengelirukan dan diputar-belit.

Beliau menegaskan, isu dalam pendengaran petisyen berkenaan adalah bukan mengenai melemahkan agama Islam dan mahkamah syariah, tetapi ia adalah berkaitan isu kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang.

“Banyak pihak yang membicarakan mengenai kes ini di luar dan kenyataan yang dibuat adalah mengelirukan.

“Kami ingin mengingatkan peguam untuk tidak membincangkan mengenai kes ini di khalayak umum…kenyataan bahawa mahkamah syariah akan berkubur di negara ini adalah tidak betul.

“Oleh itu, kami mengingatkan semua pihak supaya menegakkan prinsip undang-undang dan tidak memainkan isu yang bersifat menghasut orang ramai,” katanya.

Petisyen terbabit difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nas­tasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan bagi mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Pendengaran bersambung dengan mendengar hujahan amicus curiae atau sahabat mahkamah, yang merujuk kepada seseorang atau kumpulan yang bukan pihak dalam sesuatu tindakan undang-undang, tetapi mempunyai kepentingan yang dibawa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini