comscore
Tumpuan :
Nasional

Jangan jadikan masjid dan surau medan berpolitik

Foto hiasan

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA:  Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan pentadbir masjid dan surau seluruh negeri Selangor untuk mempertingkatkan kawalan dan menguatkuasakan kesemua larangan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), agar kawasan itu tidak dijadikan medan berpolitik, menjelang proses Pilihan Raya Negeri yang akan berlangsung Ogos ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, melalui pemantauan dan pemerhatian JAIS, pentadbir masjid dan surau didapati masih mengambil ringan, membiarkan atau membenarkan bahan penerbitan berunsur politik disebar di kawasan itu, selain membiarkan tokoh-tokoh politik menggunakan masjid / surau untuk tujuan politiknya.

“Ini adalah suatu perbuatan yang jelas telah melanggar ketetapan yang dibuat oleh MAIS bagi mengekalkan masjid dan surau sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang elemen dan pengaruh politik kepartian.”

“Tindakan pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjelang proses Pilihan Raya Negeri dengan mengedar terbitan atau bahan bercetak berunsur politik dan berpolitik di masjid atau surau adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah DYMM Sultan Selangor serta ketetapan MAIS.” katanya menerusi satu kenyataan.

“Adalah diingatkan, DYMM Sultan Selangor sejak tahun 2018 lagi telah bertitah agar masjid dan surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan.”

“Baginda juga sentiasa mengingatkan kepada semua pihak termasuklah kepada pentadbir masjid dan surau ketika Istiadat Penyampaian Watikah Nazir dan Imam Masjid Seluruh Negeri Selangor pada 2 Mac 2023 di Istana Alam Shah, Klang, selain titah Baginda kepada ahli politik berhubung perkara yang sama ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 13 Mac 2023.”

Tambahnya, ketetapan MAIS berhubung perkara tersebut masih berkuatkuasa.

Sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah DYMM Sultan Selangor atau arahan MAIS, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Dalam masa sama, pegawai masjid juga boleh dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

Loading...
Terkini