comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Jangan risau, tiada pelajar cemerlang tercicir’ – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan isu pelajar cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang belum mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian akan diselesaikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata tiada pelajar cemerlang yang akan tercicir dan pihak kementerian meminta semua pelajar dan ibu bapa supaya tidak risau mengenai perkara itu.

“Proses rayuan bagi kemasukan ke Program Matrikulasi KPM sudah selesai dan keputusannya diumumkan pada hari ini.

“Saya mengambil maklum masih terdapat pelajar cemerlang 10A SPM yang memohon, namun belum mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian.

“Jangan risau, tiada pelajar cemerlang yang akan tercicir, beri sedikit masa dan saya berjanji penempatan pelajar cemerlang yang belum mendapat tempat akan dapat diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengorak langkah dan mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan peluang untuk melanjutkan pengajian diberi kepada semua pelajar cemerlang SPM.

Katanya, inisiatif kerajaan MADANI memastikan semua pelajar cemerlang SPM yang memperoleh keputusan 10A mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian adalah satu langkah berani memastikan tiada yang terpinggir.

“Iltizam kerajaan MADANI untuk memastikan hak Bumiputera terus dipertahankan juga terbukti menerusi pengekalan kuota Bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi KPM,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini