comscore
Tumpuan :
Nasional

JAS kenal pasti punca pencemaran tumpahan minyak di pintu air Jalan Tangki

FOTO: LUAS / Facebook

SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor mengenal pasti sejumlah 50,000 liter tumpahan minyak berwarna kemerahan dan kuning mencemari pintu air di Jalan Tangki Pelabuhan Klang dekat sini, semalam.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan JAS mendapati punca kejadian pencemaran minyak itu disebabkan berlakunya kebocoran dari sistem perpaipan di rumah pam ketika kerja-kerja ‘loading’ dijalankan oleh premis terbabit.

“Kebocoran itu menyebabkan minyak kelapa sawit berkenaan yang dianggarkan 50,000 liter memasuki sungai berhampiran sungai dan terkesan adalah Sungai Aur.

“Hasil siasatan mendapati keadaan berlaku berpunca dari premis yang menjalankan aktiviti penyimpanan minyak kelapa sawit mentah (Crude Palm Oil).

“Siasatan dibuat susulan aduan kecemasan diterima JAS mengenai pelepasan bahan seperti minyak ke pintu air yang dikatakan menjadi berminyak berwarna kemerahan dan kuning,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.

Nor Aziah berkata, berdasarkan maklumat dari siasatan, tindakan pembersihan mula dijalankan pihak premis sekitar jam 8 pagi.

“Siasatan juga mendapati, tumpahan minyak terbabit berjaya dibendung di pintu kunci air dan tidak mengalir ke laut yang mana premis juga mengguna pakai ‘oil boom’.

“Pihak Northport juga membekalkan ‘oil boom’ tambahan bagi tujuan itu. Bagi mempercepatkan proses pembersihan, pihak premis juga menyediakan empat lori tangki dan lima pam bagi menyedut minyak terbabit dari Sungai Aur yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata, dua persampelan minyak itu dijalankan di dalam premis dan luar premis bagi tujuan analisa kimia.

FOTO: LUAS / Facebook

“Satu ‘Field Citation’ dikeluarkan ke atas premis bagi memastikan kerja-kerja pembersihan dijalankan dengan segera dan memaklumkan perkembangan kerja-kerja pembersihan kepada JAS Selangor dari semasa ke semasa.

“Premis juga diarahkan untuk menjalankan kerja penyelenggaraan ke atas ‘oil trap’ di dalam premis.

“Pemantauan semasa ke semasa ke atas premis akan dijalankan bagi memastikan kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya. Hari ini, JAS turut ke lokasi bagi melihat perkembangan kerja pembersihan oleh premis,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian dan pelepasan secara sengaja oleh pihak premis.

“Siasatan juga menjurus sekiranya ada aspek kecuaian dalam operasi yang menyebabkan pencemaran sungai,” katanya.

Pada masa sama katanya, tindakan bersepadu semua agensi yang terbabit berjaya mengawal pencemaran daripada memasuki kawasan perairan Selat Klang semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini