comscore
Tumpuan :
Nasional

Jemaah haji diperingat buat perancangan ibadah di Tanah Suci

FOTO: NSTP

MAKKAH: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan membuat perancangan rapi bagi memastikan masa dan peluang berada di Tanah Suci dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti ibadah supaya dapat meraih pahala berlipat kali ganda.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji bagi musim 1444H/2023M, Tengku Aziz Raja Abdullah, berkata berdasarkan pengamatan sebelum ini,  jemaah haji yang tiada perancangan ibadah, lazimnya akan melakukan pelbagai perkara lain yang kurang berfaedah seperti banyak makan, tidur dan berbual kosong.

Justeru, perancangan ibadah itu penting dan harus dititikberatkan kerana boleh membantu jemaah memperoleh haji mabrur berikutan sentiasa beribadah serta mendekati Allah SWT.

“Sedangkan kita telah datang ke Tanah Suci dan ia berkemungkinan adalah kali terakhir, malah bukan mudah untuk memperoleh peluang menunaikan ibadah haji. Oleh itu, inilah masanya untuk kita menggunakan sebaik mungkin waktu untuk beribadah kepada Allah SWT. Ini adalah peluang sangat berharga untuk jemaah haji.

“Apabila sentiasa beribadah dan dekat dengan Allah SWT, ia akan membantu kita masuk syurga dengan haji mabrur, insya-Allah. (Rasulullah SAW bersabda) Tidak ada balasan bagi haji yang mabrur, melainkan syurga. Ini bermaksud ibadah haji serta umrah adalah perkara amat penting yang tidak boleh dipandang mudah atau diambil ringan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah, Abraj Al-Janadriyah.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah. – FOTO: NSTP

Selain menunaikan solat, umrah dan haji, Tengku Aziz berkata, antara ibadah yang turut diberi penekanan sepanjang tempoh berada di Tanah Suci ialah mengaji serta khatam al-Quran, beriktikaf dan berdoa di Masjidil Haram, berzikir, bersedekah, bahkan memandang Kaabah juga boleh meraih pahala.

Katanya, jemaah haji turut digalakkan terus menimba ilmu pengetahuan dengan mengikuti program dianjurkan TH di Tanah Suci seperti kursus, forum perdana, taklimat serta ceramah umum, termasuk falsafah di sebalik setiap perkara dilakukan dalam ibadah dan berhubung masyair yang merupakan kemuncak haji.

“Di samping berusaha, jemaah haji diingatkan sentiasa berdoa kerana segala ketentuan berada dalam tangan Allah SWT. Ini termasuk berdoa supaya kita kekal beriman kerana hidayah adalah hak mutlak Allah SWT,” katanya yang turut menasihati Dhuyufurrahman supaya sentiasa melakukan kebaikan dan menjaga tutur kata serta tingkah laku.

Dalam pada itu, Tengku Aziz berkata, umat Islam di tanah air yang masih menunggu tawaran untuk menunaikan Rukun Islam kelima pula digalakkan menghadiri kursus dari semasa ke semasa bagi membantu persediaan dan kelancaran mereka mengerjakan ibadah haji dan umrah kelak.

“Alhamdulillah, hasil temu bual dengan jemaah mendapati kursus haji yang diadakan di tanah air dan diulangi lagi di Tanah Suci memang berkesan dalam membantu mereka menyempurnakan ibadah berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini