comscore
Tumpuan :
Nasional

Jemaah Menteri setuju cadangan wujud Majlis Daerah Gedong

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia kini mempunyai 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan terbaharu adalah Majlis Daerah Gedong, Sarawak.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah bersetuju dan meluluskan cadangan mewujudkan majlis daerah berkenaan.

“Antara kriteria yang ditekankan oleh KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) adalah seperti keperluan Majlis Daerah Gedong bagi menyediakan perkhidmatan PBT pada tahap yang cemerlang serta penyediaan kemudahan infrastruktur dan utiliti awam yang dapat dinikmati oleh warga daerah Gedong.

“Penekanan kepada kriteria ini adalah bagi memastikan langkah pewujudan Majlis Daerah Gedong dapat memenuhi harapan dan kehendak Kerajaan Malaysia MADANI dan aspirasi rakyat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat, meningkatkan daya saing negara dan kualiti hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, Majlis Daerah Gedong akan mentadbir keseluruhan daerah tersebut selaras dengan keputusan Kerajaan Sarawak yang telah melaksanakan persempadanan semula kawasan pentadbiran baharu daerah Gedong berkuat kuasa 1 Mac 2022.

Ketika ini, Daerah Gedong yang mempunyai 14,424 penduduk terletak di dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Simunjan.

Daerah Gedong seluas 612 kilometer persegi (61,200 hektar) dahulunya merupakan sebahagian daripada daerah Simunjan yang berada dalam Bahagian Samarahan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong kini diwakili oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mengulas lanjut, menurut Nga, penubuhan Majlis Daerah Gedong diharap dapat membantu kerajaan dalam pelaksanaan pelbagai projek dan program di Bahagian Samarahan yang diputuskan melalui Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).

Selain itu, ia juga dijangka merangsangkan lagi pertumbuhan sosioekonomi rakyat dan pembangunan khususnya di daerah terbabit.

“KPKT berharap melalui kelulusan ini, Majlis Daerah Gedong dapat memberikan perkhidmatan PBT yang terbaik bagi memastikan manfaat pembangunan di daerah berkenaan dapat dinikmati oleh rakyat sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk membina masyarakat yang berteraskan Malaysia MADANI,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini