comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah Hazlami tiba di KLIA

Hazlami Ahmad Nizam dilaporkan meninggal dunia di Mera Peak, Nepal. FOTO Ihsan Pembaca.

SEPANG : Jenazah pendaki Malaysia, Hazlami Ahmad Nizam yang meninggal dunia di pergunungan Mera Peak, Nepal, Khamis lalu,  tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi ini.

Jurucakap Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) di Nepal ketika dihubungi berkata, jenazah Hazlami akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan dijangka tiba pada jam 12.40 tengah hari.

Solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Muhibbudin, Sungai Pasir, Sungai Petani, Kedah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Bukit.

Menurut Malawakil, jenazah Hazlami diterbangkan dari Lapangan Terbang Tribhuvan, Kathmandu, dengan pesawat Malaysia Airlines MH115 pada jam 11.30 malam (waktu tempatan Nepal), semalam.

Katanya, proses bedah siasat di Teaching Hospital, Kathmandu, selesai Ahad lalu, manakala proses mandi, mengkafankan dan solat jenazah pula dijalankan dengan bantuan ahli jawatan kuasa Masjid Jame’Swayambhu berdekatan bandar itu pada jam 8 pagi pada Isnin.

“Pihak hospital mengesahkan kematian Hazlami berpunca daripada serangan akut gunung,” katanya.

Empat ahli keluarga Hazlami yang berada di Nepal, sejak Jumaat lalu, terdiri daripada isteri arwah, Nur Farhah Busyra Ismail, Ahmad Nizam Damiri (bapa), Nur Liyana (kakak) dan Muhammad Mustapa Kamarudin (sepupu) juga sudah pulang ke tanah air dengan pesawat Batik Air pada jam 9.30 malam (waktu tempatan Nepal) semalam.

Sebelum ini, media melaporkan urusan membawa pulang jenazah Hazlami tertangguh disebabkan masih menunggu urusan dokumentasi dari pihak berkuasa tempatan.

Hazlami, 33, kakitangan Petronas Chemicals, Gebeng, Kuantan, Pahang, meninggal dunia ketika menyertai aktiviti mendaki di Mera Peak, pada ketinggian 5,700 meter (m) dari aras laut.

Allahyarham meninggalkan tiga anak berusia enam, empat dan setahun.

Beliau dilaporkan berasa tidak sihat sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah mangsa dibawa turun oleh malim gunung ke aras 5,500 m (dari aras laut) sebelum dibawa keluar dengan helikopter ke Lukla dan Kathmandu pada Sabtu, bagi urusan dokumentasi pihak berkuasa Nepal dan bedah siasat di hospital.

Loading...
Terkini