comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Setiap saat kami ketakutan, tiada visa haji, tiada pasport, hidup macam pelarian’


SEPANG: Selepas sebulan terkandas di tanah suci, pasangan suami isteri yang hanya ingin dikenali sebagai Mohammad, 60, dan Ju, 58, yang pulang ke tanah air semalam berkongsi pengalaman mereka.

Mohammad dan isterinya antara 250 orang yang berlepas ke Jeddah pada 2 Mei lalu selepas dikatakan mendapat tajaan haji daripada sebuah agensi pelancongan.

Beliau berkata, mereka diberi visa pelancong ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan alasan akan menunaikan umrah terlebih dahulu, sebelum prosedur dan dokumentasi menunaikan haji diuruskan selepas itu.

“Kami yakin dengan janji agensi itu sebab dimaklumkan dapat menunaikan haji menggunakan visa kuota rakyat Arab Saudi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selepas gagal mendapat visa haji, Mohammad memberitahu hasrat ingin pulang ke tanah air kepada pihak agensi.

“Bagaimanapun, mereka tidak memulangkan pasport saya dan isteri. Kami bimbang ditahan pihak berkuasa Arab Saudi kerana arahan sudah dikeluarkan supaya jemaah umrah asing meninggalkan Makkah.

“Kami tidak keluar dari bilik hotel dan ada harinya cuma makan mi segera. Bila ada yang ketuk pintu bilik pun kami tak berani buka sebab takut ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

“Sepanjang berkurung di bilik hotel, saya memang tertekan, lebih-lebih lagi memikirkan isteri ada masalah jantung, kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan ubat.

“Setiap saat kami ketakutan, tiada visa haji, tiada gelang dan tiada pasport, hidup macam pelarian.”

“Risau menunggu terlalu lama, Mohammad menghubungi anak perempuannya di tanah air bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Mereka akhirnya selamat tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) kira-kira jam 7 malam tadi dengan disambut ahli keluarga.

Perjalanan pulang dari Makkah ke Jeddah dibantu Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, termasuk mendapatkan semula pasport dan mengarahkan pihak agensi menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia.

Beliau bersyukur dapat pulang ke tanah air dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

“Buat masa ini kami akan berehat beberapa hari di rumah dan akan memberi keterangan kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini