comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah kru kapal terjatuh ke laut dibawa pulang ke tanah air esok

KUALA LUMPUR: Jenazah kru kapal warga Malaysia, Muhammad Isa Muhammad Veeramohan, 31, yang dilaporkan terjatuh ke laut ketika memasang pilot ladder di perairan Chittagong, Bangladesh Rabu lalu, dijangka tiba di Malaysia esok.

Abangnya, Nur Muhammad berkata, jenazah dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8 pagi sebelum dibawa ke Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, Selangor, untuk disolat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda.

“Segala urusan bawa pulang jenazah adik diuruskan oleh pihak insurans kepada syarikat adik bekerja.

“Insya-Allah esok jenazah dijangka tiba. Mohon doakan segala urusan dipermudahkan sehinggalah jenazah dikebumikan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur, arwah sudah lama bekerja dengan syarikat berkenaan dan kali kedua menyertai tugasan di atas kapal.

Katanya, seluruh keluarga memang terkesan dengan kehilangan anak ketiga daripada enam beradik itu yang disifatkan sebagai anak yang baik dan bertanggungjawab.

“Dia (arwah) seorang yang berani dan banyak membantu ayah, emak serta adik-beradik. Dia tidak suka susahkan keluarga, sakit pun tidak pernah beritahu keluarga. Itulah sikap dia,” katanya.

Nur berkata, keluarga terharu kerana ramai yang mendoakan arwah dan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.

Terdahulu, mayat kru kapal yang dilaporkan terjatuh ke laut ketika memasang ‘pilot ladder’ di perairan Chittagong, Bangladesh ditemukan pasukan penyelamat, pada Ahad.

Loading...
Terkini