comscore
Tumpuan :
Nasional

JKDM rampas rokok seludup bernilai hampir RM700,000

 

Foto: JKDM

BESUT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sejumlah RM682,550 rokok seludup, di Kuala Besut, Ahad lalu.

Pengarah Kastam Terengganu, Mohd Nadzri Ariffin berkata, satu pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM menyita sebuah motolori bermuatan kotak rokok disyaki barang larangan import kira-kira jam 7 pagi pada 9 Jun lalu.

“Serbuan itu dilakukan hasil risikan Pasukan Zon Risik Timur dan Pasukan COBRA seterusnya melakukan serbuan di lokasi bersebelahan Bangunan Pusat Khidmat Dun Kuala Besut.

“Pasukan ini berjaya mengesan sebuah motolori tanpa pemandu yang mempunyai muatan kotak berisi rokok disyaki barang larangan import yang ditinggalkan di lokasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, sejumlah 850,000 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM110,500 dan membabitkan jumlah cukai sebanyak RM572,050 berjaya dirampas.

“Jumlah nilai rampasan termasuk cukai adalah RM682,550.

“Motolori berserta eksibit rokok kes dibawa ke Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Stesen Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket penyeludupan berkenaan menggunakan motolori jenis bonded bagi pengedaran rokok seludup ke pasaran luar negeri Terengganu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Barang kes yang dirampas adalah dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Katanya, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan barang tak berkastam serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.

Menurutnya, orang awam yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini