comscore
Tumpuan :
Nasional

JKR akan perhalusi prosedur pemindahan projek infrastruktur kecil ke jabatan lain

 

FOTO: NSTP

KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperhalusi prosedur-prosedur berkaitan sebelum memindah projek-projek infrastruktur kecil seperti membaiki sekolah daif yang di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) ke jabatan lain atau pejabat daerah.

Ia bagi memastikan beberapa aspek penting khususnya yang melibatkan teknikal, kejuruteraan dan keselamatan ditangani sepenuhnya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu penting agar pelaksanaan setiap projek kecil itu dilaksanakan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan bagi pelaksanaan projek-projek terlibat.

“Sebenarnya projek-projek kecil ini  sudah juga dilaksanakan oleh agensi yang terlibat macam kementerian-kementerian terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Rumah Terbuka Gawai Dayak di Kediamannya di sini.

Katanya sebagai permulaan projek-projek infrastruktur yang kecil dengan kos RM200,000 dan ke bawah akan dipindahkan ke Jabatan berkaitan untuk dilaksanakan.

Bagaimanapun jumlah terbabit berkemungkinan akan ditingkatkan di masa hadapan jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

“Memang ada sesetengah projek sudah dilaksanakan oleh mereka (jabatan lain) sebab itu kita perhalusi senarai mana projek-projek yang akan kita lepaskan kepada agensi lain,” katanya.

Menurut  Alexander Nanta, satu mesyuarat di peringkat Kementerian Kerja Raya akan dilakukan dalam masa terdekat untuk mengenal pasti projek-projek kecil yang terlibat.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek-projek infrastruktur kecil dipindahkan ke jabatan lain atau pejabat daerah bagi mengurangkan bebanan tanggungjawab JKR dalam mengawal selia setiap projek infrastruktur.

Dengan pemindahan tanggungjawab projek-projek kecil berkenaan ia secara langsung akan membolehkan jabatan itu meberikan fokus lebih menyeluruh kepada pelaksanaan projek-projek infrastruktur besar seperti  pembinaan lebuh raya, projek tebatan banjir dan sebagainya.

Loading...
Terkini