comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor umum peruntukan RM54.79 juta bina, baik pulih rumah

Bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan, Johor mengumumkan dua inisiatif iaitu Bina Baharu Rumah dan Baik Pulih Rumah untuk rakyat di negeri itu. – Foto Facebook Onn Hafiz

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM54.79 juta menerusi dua inisiatif bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata dua inisiatif itu adalah bagi membina rumah baharu dan membaik pulih rumah sedia ada.

Beliau berkata, sebanyak 328 unit rumah akan dibina manakala 1,368 unit rumah akan terbabit dalam inisiatif baik pulih.

“Bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM32 juta bagi inisiatif Bina Baharu Rumah membabitkan 328 unit manakala RM22.79 juta bagi inisiatif Baik Pulih Rumah membabitkan 1,368 unit,” katanya menerusi hantaran baharu di Facebook rasminya, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, usaha penyelarasan dan pemerkasaan inisiatif itu akan sentiasa dilaksanakan dengan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin masyarakat setempat.

Selain itu, katanya, ia membabitkan kerjasama daripada pelbagai agensi seperti Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), Southern Volunteers (SV) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Kerjasama dan penyelarasan ini penting bagi memastikan kerajaan membantu golongan yang benar-benar memerlukan pada kadar yang segera.

“Semoga segala inisiatif ini dapat meningkatkan taraf hidup Bangsa Johor dan memberi sinar bahagia buat mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini