comscore
Tumpuan :
Nasional

JS-SEZ tingkatkan kerjasama ekonomi – IRDA

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) teruja dengan pemeteraian MoU Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menurut Ketua Eksekutifnya, Dr Badrul Hisham Kassim, merealisasi zon ini, sudah pasti akan membawa peluang dan kelebihan besar kepada Iskandar Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Katanya, ia ditambah dengan Zon Kewangan Khas di Forest City, bukan sahaja akan menyumbang ke arah sasaran pelaburan terkumpul baharu di rantau ini sebanyak RM636 bilion menjelang 2030 malah akan memberi kesan limpahan besar ke atas pembangunan holistik di Iskandar Malaysia.

Rangsangan ekonomi strategik ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia (CDPiii) 2022 – 2030 terbaharu dan dijangka membantu memacu pencapaian matlamat sosio-ekonomi.

Tambah beliau, JS-SEZ boleh meningkatkan kerjasama ekonomi dengan memanfaatkan momentum pelaburan sedia ada dan ini akan memperkayakan lagi cadangan antara Malaysia dan Singapura.

“Kami melihat ini sebagai manfaat yang besar untuk Iskandar Malaysia dan pemegang taruh dan bersama-sama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor dan rakan kongsi kerajaan dan swasta yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Badrul berkata, IRDA akan mengoptimumkan peluang daripada zon ekonomi untuk manfaat rantau ini ke arah menjadi sebuah metropolis yang kukuh dan mampan bertaraf antarabangsa.

Pusat Perkhidmatan Pelaburan Iskandar Malaysia (IMISC) sedia ada, di bawah IRDA, akan terus menjadi jambatan antara pelabur dan pelbagai agensi kerajaan yang meluluskan dan menyokong pelaksanaan pusat sehenti untuk JS-SEZ.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan negeri Johor atas usaha mereka untuk mewujudkan zon ekonomi ini,” ujarnya lagi.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) JS-SEZ berlangsung semalam.

MoU ditandatangani oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura (MTI), Gan Kim Yong dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini